comscore
Tumpuan :
Jenayah

Laporan siasatan kes penyeludupan dadah ke Australia siap dalam 2 minggu – JKDM

PASIR PUTEH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sedang menjalankan siasatan berhubung penyeludupan dadah bernilai RM789.56 juta dari Pelabuhan Klang ke Brisbane, Australia.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad, berkata laporan siasatan akan disiapkan dalam tempoh dua minggu sebagaimana yang diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Setakat ini kita tidak boleh dedahkan hasil siasatan kerana maklumat ini perlu dirahsiakan terlebih dahulu, namun laporan itu akan siap dalam tempoh dua mingu.

“Tiada pegawai yang dihantar ke Australia kerana di negara berkenaan kita mempunyai pegawai atase JKDM di Kedutaan Malaysia dan kita berhubung dengan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas iftar bersama pegawai dan anggota JKDM yang terbabit dengan Ops Badai dan Makmur II di sini, malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan memberikan tempoh maksimum dua minggu kepada JKDM bagi mengemukakan laporan penuh kejadian dadah bernilai RM789.56 juta diseludup melalui Pelabuhan Klang ke Brisbane, Australia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejadian itu menunjukkan wujudnya kelemahan dalam sistem kerajaan yang sepatutnya mampu mengesan kegiatan berkenaan, namun gagal.

Katanya, kerajaan memandang serius kejadian berkenaan dan mengarahkan siasatan terperinci dilakukan agensi penguatkuasaan termasuk memastikan perkara itu tidak berulang pada masa hadapan.

Sementara itu ketika ditanya kemungkinan pegawai dan anggota JKDM bersubahat dalam kes penyeludupan dadah berkenaan, Sazali berkata perkara itu juga masih dalam siasatan.

Loading...
Terkini