HULU SELANGOR: Polis menahan seorang lelaki warga emas bagi membantu siasatan berhubung kejadian pelajar Tingkatan Satu maut dilanggar kereta ketika melintas jalan di Jalan Kampung Gesir Tengah, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
“Individu berusia 65 tahun itu tidak direman. Dia ditahan sementara untuk membantu siasatan,” katanya memetik laporan BH Online.
Terdahulu, Ahmad Faizal dilaporkan berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu jam 7.40 pagi.
Difahamkan, remaja lelaki berusia 13 tahun itu dalam perjalanan ke sekolahnya, manakala pemandu kereta dari Kampung Rahmat, Felda Gedangsa ke Tanjung Malim.
“Setibanya di lokasi, mangsa dari sebelah kiri dipercayai melintas jalan secara tiba-tiba menyebabkan pemandu kereta tidak sempat mengelak dan melanggarnya.
“Bapa remaja lelaki itu kemudian membawa anaknya ke Klinik Selisik untuk mendapatkan rawatan, bagaimanapun, apabila tiba hadapan Dewan Serbaguna Selisik, mangsa disahkan meninggal dunia.
“Mayat dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat,” katanya sambil menambah kereta Toyota Vios dinaiki warga emas itu ditahan di Cawangan Trafik Hulu Selangor untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.