comscore
Tumpuan :
Jenayah

Langgar motosikal polis, penghantar makanan dan guru tadika di tahan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang penghantar makanan dan guru tadika ditahan selepas bertindak merempuh serta menyeret motosikal anggota polis yang melakukan pemeriksaan ketika mereka sedang berdua-duaan dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), di Jinjang di sini Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata dalam kejadian pada 11.45 malam itu, dua anggota polis sedang melakukan rondaan cegah jenayah di satu lorong yang gelap di kawasan itu sebelum terserempak dengan MPV jenis Toyota Velfire dalam keadaan enjin dihidupkan.

“Seorang daripada anggota berkenaan kemudian meletakkan motosikalnya di hadapan MPV itu dan menyuluh ke dalam sambil mengeluarkan kad kuasa polis.

“Bagaimanapun, suspek lelaki yang ketika itu berada di bahagian belakang kenderaan terus bergerak ke bahagian pemandu dan bertindak menekan minyak lalu melanggar motosikal anggota polis berkenaan dan menyeretnya sejauh 300 meter sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kedua-dua anggota polis itu yang sempat mengelak kemudian bertindak mengejar kenderaan tersebut yang dipandu ke arah Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) namun suspek berjaya melarikan diri.

Ahmad Sukarno berkata hasil maklumat yang diterima, kedua-dua suspek yang berusia 27 tahun berjaya ditahan di sekitar Batu Caves, Gombak dan Taman Melati, Setapak hari ini.

Suspek lelaki direman tujuh hari bermula hari ini manakala suspek wanita direman hingga esok untuk disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini