comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lai Pei Jing hampir kehilangan semua wang simpanan akibat penipuan

KUALA LUMPUR: Pemain badminton beregu campuran negara Lai Pei Jing mendedahkan, bahawa beliau kehilangan hampir kesemua wang simpanannya akibat menjadi mangsa penipuan.

Pemain berusia 31 tahun itu dalam satu hantaran di Facebooknya malam tadi, menyatakan kekecewaannya dan meminta agar keluarganya tidak diganggu pada ketika mereka berhadapan emosi selepas kejadian itu.

Pei Jing, beregu campuran ke-23 dunia bersama Tan Kian Meng berkata beliau kehilangan hampir keseluruhan wang simpanannya kepada satu kumpulan penipuan, dan menyatakan pengalaman itu sesuatu yang sukar buatnya selepas bekerja keras sejak sekian lama.

“Pertamanya kepada rakan-rakan dan saudara yang melihat hantaran ini, sama ada anda ingin tahu atau ambil berat, tolong berikan keluarga dan saya ruang untuk kami hadapi kesedihan. Sila berikan kami masa untuk hadapi semuanya, terutamanya ibu saya. Terima kasih.

“Ya, saya telah ditipu hampir keseluruhan wang simpanan saya oleh kumpulan penipuan. Secara jujurnya ia sesuatu yang amat berat untuk saya.

“Wang simpanan hasil titik peluh selepas bertahun-tahun bekerja keras…Saya teringatkannya hampir setiap saat dan bila ia terjadi saya akan terus teringat semua kejadian penipuan dan menyalahkan diri saya sendiri atas kebodohan dan kebaikan saya,” katanya.

Walaupun masih beremosi, juara beregu campuran Terbuka Korea 2022 itu berazam untuk maju ke hadapan, kerana beliau telah pun menghadapi emosinya selain telah memberikan kerjasama dengan pihak polis.

“Saya akan kongsikan lebih lanjut mengenainya. Saya berharap akan dapat elakkan lebih ramai menjadi mangsa dan juga perlu menerima hakikat bahawa saya telah ditipu. Jadi pada masa ini, saya mesti harunginya kerana hidup masih perlu diteruskan. Dunia tidak akan berhenti berputar hanya kerana saya… Nampaknya menjadi kuat adalah satu-satunya pilihan yang saya ada”, katanya.

“Saya perlukan sedikit masa untuk selesaikan dan terima segala-galanya. Selepas itu, saya akan fikirkan cara untuk berkongsi butiran penipuan dengan semua orang. Saya berharap perkongsian saya dapat membantu orang lain menjadi lebih berwaspada dan mengelakkan lebih ramai mangsa daripada ditipu.

”Pada Terbuka Singapura yang berakhir semalam, Pei Jing-Kian Meng tersingkir seawal pusingan kedua, dan mereka dijadualkan untuk menyertai Terbuka Indonesia di Jakarta dari 4 hingga 9 Jun.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini