comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lagi pesara guru diperdaya ‘phone scam’, hilang wang RM1.75 juta

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Wang simpanan berjumlah RM1.75 juta milik seorang pesara guru berusia 72 tahun lesap selepas menjadi mangsa penipuan ‘phone scam’ di Sandakan, Sabah, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata mangsa pada awalnya menerima panggilan telefon daripada individu menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya, kejadian dilaporkan berlaku pada 9 Oktober lalu dan pemanggil yang menyamar sebagai pegawai SKMM mendakwa mangsa ada terbabit dengan kegiatan pengubahan wang haram.

“Mangsa kemudian diarahkan untuk menyenaraikan semua akaun perbankan miliknya dan diminta ‘mengangkat sumpah’ untuk merahsiakan perkara itu.

“Selain itu, mangsa diarahkan melaporkan diri kepada kononnya seorang pegawai polis dari Bukit Aman setiap dua kali sehari,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat JSJK di sini, hari ini.

Ramli berkata, mangsa kemudian diarahkan mengeluarkan kesemua wang simpanan miliknya dan dimasukkan ke empat akaun bank milik pengadu sendiri.

“Mangsa juga diminta memasukkan kesemua kad pengeluaran wang automatik (ATM), maklumat nombor pin serta kad sim yang digunakan ke dalam satu sampul surat.

“Seterusnya diletakkan di dalam semak berdekatan sebuah lorong kononnya bagi membolehkan pihak penyiasat membuat audit.

“Mangsa hanya menyedari telah diperdaya apabila mendapati kesemua wang miliknya dikeluarkan dan dipindahkan tanpa pengetahuannya,” katanya.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Melalui kes ini, dapat dilihat bagaimana sindiket secara berterusan memberi tekanan kepada mangsa melalui arahan untuk melapor diri selain ditegah bercerita kepada orang lain berkaitan kes tersebut.

“Taktik ini digunakan untuk mengawal mangsa agar terus berada dalam ketakutan dan menyekat mereka dari berfikir secara rasional.

“Mangsa yang gagal berfikir secara rasional akan cenderung untuk mengikut apa jua arahan yang diberikan sehingga akhirnya mengakibatkan kerugian,” katanya.

Justeru, katanya bagi mencegah berlakunya penipuan sebegini, sentiasa dapatkan nasihat atau pandangan dari keluarga, rakan, kenalan atau sesiapa jua setiap kali menerima panggilan yang mencurigakan.

“Penting juga untuk masyarakat tahu, walaupun perkhidmatan agensi kerajaan adalah cekap, namun ia masih belum sampai ke tahap untuk memindahkan panggilan dari satu agensi ke agensi lain dengan cepat.

“Maka, sekali lagi kami nasihatkan supaya jangan layan dan jangan percaya sebarang panggilan yang datangnya dari individu tidak dikenali lebih-lebih lagi apabila panggilan tersebut berpindah dari satu agensi ke agensi lain dengan cukup mudah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini