
SUBANG JAYA: Tindakan seorang lelaki menyimpan dua pedang samurai yang dikutip dari tempat pembuangan sampah di dalam keretanya mengundang padah apabila dia ditahan polis, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata sepasukan anggota polis dari Balai Polis Bukit Puchong menahan lelaki tempatan berusia 30-an yang menaiki kereta Honda Accord di Taman Puchong Permai, Puchong, di sini, pada jam 3 pagi.
“Hasil pemeriksaan dalam kereta itu menemui dua pedang samurai disimpan di tempat duduk penumpang belakang dan bonet.
“Soal siasat terhadap suspek mendapati dia mengutip kedua-dua pedang berkenaan di kawasan pembuangan sampah Puchong Jaya dan menyimpannya dalam kereta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wan Azlan berkata, semakan lanjut dilakukan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah.
“Kertas siasatan kes itu sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor, semalam dan suspek dituduh mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berjadual 1958 (Akta 357) di Mahkamah Shah Alam, hari ini.
“Susulan itu, orang ramai dinasihatkan tidak membawa sebarang senjata berjadual di tempat awam. Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di daerah ini boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.