comscore
Tumpuan :
Jenayah

KPDN tumpaskan sindiket seleweng diesel

Oleh Amirulhakim Lokman

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi selepas pemeriksaan ke atas dua kenderaan trak pikap di sempadan Malaysia-Thailand di Kedah, Khamis lalu.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, mereka giat melakukan aktiviti pembelian minyak diesel daripada satu stesen ke stesen yang lain dalam radius 50km daripada sempadan Malaysia-Thailand di Kedah.

Menurutnya, serbuan KPDN Putrajaya pada 9 pagi di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah adalah hasil risikan selama beberapa hari.

Serbuan dengan kerjasama agensi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dilakukan ke atas dua kenderaan yang mendapati jumlah isipadu minyak diesel dalam tangki kedua-dua kenderaan itu melebihi 20 liter.

“Dua individu lelaki warganegara Thailand yang memandu kedua-dua kenderaan terbabit mengesahkan bahawa minyak diesel itu diisi daripada beberapa stesen minyak di sekitar Daerah Kubang Pasu, Kedah sepertimana maklumat awal yang diperolehi daripada pasukan risikan yang mengekori kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, minyak diesel berjumlah keseluruhan 120 liter, Toyota Hilux dan Chevrolet Colorado serta beberapa dokumen perniagaan yang ditemui disita bagi tujuan siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM76,584 di mana kedua-dua lelaki warganegara Thailand itu juga ditahan bagi membantu siasatan kes terbabit.

“Kertas siasatan dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini akan dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961,” katanya.

Loading...
Terkini