Oleh Naim Fitri Abu Bakar
BUTTERWORTH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menahan 4 individu yang dipercayai menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi minyak diesel.
Pengarahnya, R.S. Jegan berkata, susulan daripada penahanan itu pihaknya turut merampas 3,800 liter disyaki minyak diesel, dua buah lori, sebuah pacuan empat roda, sebuah kepala lori, lapan tangki plastik termasuk tangki besi serta tiga motor pam dan pam hos.
Menurutnya, empat individu terbabit adalah lelaki warga tempatan berusia lingkungan antara 20 hingga 60-an yang juga adalah pemandu setiap kenderaan yang ditahan.
“Kesemua individu itu ditahan selepas lapan pegawai penguatkuasa melakukan serbuan selama dua hari sejak Rabu lalu di tiga buah stesen minyak di kawasan Perai dan Permatang Pauh.
“Serbuan dilakukan selepas kenderaan berkenaan yang sedang mengisi minyak dilihat dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan terhadap kenderaan pacuan empat roda mempunyai satu tangki besi berkapasiti 1,000 liter yang telah diubahsuai dan ditempatkan di belakang kenderaan tersebut dengan ditutupi kain kanvas,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Difahamkan, semua tangki yang dirampas itu boleh mengisi sebanyak 9,000 liter minyak diesel dan anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan bernilai RM205,920.