Tumpuan :
Jenayah

KPDN serbu stor haram simpan 5,550 liter diesel

FOTO: Ihsan KPDN

BAGAN DATUK: Sebuah stor haram yang dijadikan tempat penyimpanan minyak diesel di Kampung Melayu Jenderata, Hutan Melintang, di sini tumpas apabila diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan menerusi Ops Tiris itu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Cawangan Teluk Intan kira-kira jam 12.18 tengah hari.

“Hasil risikan selama seminggu berjaya mengesan sebuah lori tangki memasuki premis terbabit disyaki untuk memindahkan cecair disyaki diesel ke dalam tangki skid.

“KPDN bertindak menyita sebuah tangki skid yang berisi cecair disyaki minyak diesel sebanyak 5,500 liter, sebuah tong drum berisi 50 liter cecair disyaki minyak diesel, pam minyak, sebuah kenderaan pacuan 4×4 dan sebuah lori tangki dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM280,539,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kamalludin berkata, seorang lelaki berusia 53 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis stor haram itu didapati gagal untuk mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada Pengawal Bekalan.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini