Tumpuan :
Jenayah

KPDN Selangor lupus barang tiruan bernilai RM1.7 juta

Antara barang tiruan yang dilupuskan

Oleh: Izzatie Rizan

SHAH ALAM: Ekzos motor dan alat ganti enjin kenderaan antara pelbagai barangan tiruan bernilai RM1.7 juta yang dilupuskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, hari ini.

Pengarahnya, Mohd Zulhairi Mat Radey berkata ia membabitkan 50 kes sitaan yang dilakukan sepanjang 2013 hingga tahun lalu dan mendapat arahan pelupusan daripada mahkamah.

“Alat ganti kenderaan ini kami rampas daripada kedai menjual alat ganti di sekitar Klang.

“Kami kesan penjualannya semakin berleluasa dan ini bukan sahaja membahayakan kerana membabitkan keselamatan pengguna apabila menggunakan barang tidak asli.

“Barangan lain yang dilupuskan termasuk peralatan komputer, produk kecantikan, produk kesihatan, aksesori telefon, pakaian dan instrumen yang digunakan semasa aktiviti penyelewengan bahan api diesel bersubsidi.

Mohd Zuhairi (tengah) ditemui pada Program Pelupusan Eksibit Perdana 2023 di Stor Eksibit Bukit Raja, Shah Alam

“Pelupusan barang itu membabitkan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Cap Dagangan 2019, Akta Hak Cipta 1987, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya ketika ditemui media selepas Sesi Pelupusan Ekshibit Perdana 2023, di sini pada Selasa.

Barang rampasan itu dilupuskan dengan cara dimusnahkan yang turut dihadiri wakil cap dagang.

Mohd Zulhairi turut memberi amaran kepada individu atau syarikat supaya tidak menjual barangan tiruan dan jika berdegil tindakan tegas akan diambil.

Loading...
Terkini