comscore
Tumpuan :
Jenayah

KPDN rampas 2,200 liter diesel di stesen minyak

KPDN menumpaskan sindiket seleweng minyak diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris di Seremban semalam. FOTO: Ihsan KPDN Negeri Sembilan

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan merampas 2,200 liter minyak diesel disyaki bersubsidi dianggarkan bernilai RM4,730 di sebuah stesen minyak di Jalan Tampin di sini semalam.

Pengarah KPDN negeri Muhammad Zahir Mazlan berkata turut disita sebuah lori, enam tangki Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter, seunit pam elektrik, seunit motor pam dan satu hos getah menjadikan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM20,630.

“Hasil risikan tiga anggota menerusi Op Tiris ini berjaya mengesan pergerakan mencurigakan sebuah lori jenama Nissan sedang mengisi minyak di stesen berkenaan.

“Anggota serbuan turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 47 tahun kerana disyaki telah berurusan dengan barang kawalan berjadual tanpa lesen atau permit yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kertas siasatan telah dibuka bagi siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut. — BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini