NILAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 105 kilogram (kg) dadah jenis methaphetamine dianggarkan bernilai RM3.3 juta yang diiisytiharkan sebagai teh herba Cina di Shah Alam.
Dadah itu dikesan di dalam lima kotak di gudang logistik syarikat perkhidmatan kurier dan hendak dihantar ke Sabah menggunakan syarikat penghantaran berkenaan pada 15 Oktober lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasan dan Pematuhan), Ribuan Abdullah berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan dadah berkenaan akan diseludup ke negara jiran kerana harganya yang berlipat kali ganda.
Beliau berkata pihaknya juga percaya dadah berkenaan diseludup dari kawasan `Segi Tiga Emas dan dibawa masuk ke negara ini melalui negeri di utara Semenanjung.
“Kira-kira jam 4 petang 15 Oktober lalu, sepasukan anggota dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM menyita lima kotak di gudang syarikat logistik di Shah Alam.
“Pemeriksaan dilakukan ke atas kotak itu menemui sejumlah bungkusan teh herba Cina yang mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah berbahaya jenis methaphetamine dengan berat kasar 105 kg yang dianggarkan bernilai RM3.3 juta,” katanya pada sidang media, di sini. hari ini.
Ribuan berkata penyeludup dikesan menggunakan khidmat pengendali kurier dari Lembah Klang untuk menghantar bungkusan itu ke Sabah melalui laluan udara dengan mengikrarkan syarikat penjualan vape sebagai penerima.
Namun, katanya, hasil semakan mendapati sindiket menggunakan alamat penerima yang tidak wujud di Sabah manakala alamat penghantar tidak dilengkapkan bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
“Pekara ini yang menyebabkan pihak kami curiga dengan kotak berkenaan ketika melakukan pemeriksaan rutin sebelum pemeriksaan lanjut menemui dadah berkenaan,” katanya.
Ribuan berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pihaknya juga sedang mengesan suspek dipercayai menghantar kotak berkenaan ke kurier melalui bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Katanya, dengan jumlah berat kasar dadah yang dirampas, pihaknya menganggarkan seramai 525,000 dapat diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah.
“Orang ramai digesa untuk membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain bahan terlarang,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.