JOHOR BAHRU: Kontraktor pembinaan perumahan kerugian RM107,000 selepas terpedaya dengan tawaran pekerjaan tidak wujud, yang menjanjikan keuntungan besar melalui aplikasi atas talian.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki warga tempatan berumur 50 tahun itu menerima panggilan telefon pada 11 Disember lalu daripada seorang lelaki tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah syarikat jualan dalam talian.
Menurutnya, suspek memperkenalkan diri dan memaklumkan sedang mencari pekerja sambilan untuk perniagaan jualan secara talian yang tidak memerlukan modal serta menawarkan keuntungan besar.
“Mangsa bersetuju dengan tawaran suspek dan menerima pautan untuk memuat turun aplikasi jual beli atas talian.
“Mangsa kemudiannya mendaftar akaun di aplikasi itu untuk menerima tempahan kerja yang ditawarkan. Pada 17 Disember, mangsa menerima dua tempahan kerja iaitu pembekalan pelitup muka bernilai USD 28,000 (RM125,132) dan tempahan kedua bernilai USD 504 (RM2,252.38).
“Mangsa berhubung dengan suspek dan meminta untuk membuat bayaran terlebih dulu sebelum kontrak tempahan diluluskan dengan dijanjikan keuntungan sebanyak USD 3,054 (RM13,648.33) serta tempahan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian membuat empat transaksi pemindahan wang secara atas talian dari akaun persendiriannya ke beberapa akaun bank yang diberikan suspek.
Katanya, mangsa turut diminta membuat pembayaran tambahan sebanyak USD40,000 (RM178,760) untuk mengeluarkan wang keuntungan.
“Selepas menyedari ditipu, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Johor Bahru Selatan.
“Hasil semakan melalui portal Semak Mule Jabatan Siasatan Jenayah Komersil mendapati dua daripada empat akaun bank itu mempunyai rekod laporan polis berkaitan kes penipuan dalam talian,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.