comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kontena berisi batang buluh 6 tan dengan bahan tercemar dihantar balik ke China

Oleh: Selwam Arjunan

BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang telah mengarahkan kontena dagangan berisi batang buluh (Bamboo Sticks) dari negara China seberat 6,025 kilogram berpatah balik ke negara asal.

Menurut Maqis, dagangan yang dianggarkan bernilai RM 47,701.67 itu telah ditahan di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth NBCT Pulau Pinang, di sini, pada hari ini.

Katanya, bahan import itu tidak dibenarkan masuk ke dalam negara selepas pemeriksaan rutin mendapati terdapat maklumat yang berbeza dan mengelirukan pada dokumen import serta penemuan bahan cemar pada barang dagangan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] iaitu mana-mana orang yang memberikan maklumat yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah menjadi suatu kesalahan.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kes ini juga disiasat mengikut Seksyen 14(b), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] iaitu mana-mana orang yang mengimport melalui pintu masuk, stesen kuarantin atau premis kuarantin apa-apa tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih atau mikroorganisma yang dipercayai mempunyai perosak, penyakit atau bahan cemar melakukan suatu kesalahan.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” Maqis berkata dalam kenyataan, hari ini.

Maqis juga mengingatkan kepada semua pemain industri agar sentiasa merujuk dan mematuhi syarat-syarat perdagangan import dan eskport negara.

Katanya, sebarang perbuatan yang tidak mematuhi syarat adalah menjadi suatu kesalahan dan tindakan tegas akan dikenakan.

Tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana syarikat yang melanggar ketetapan undang-undang demi menjamin keselamatan dan keterjaminan industri pertanian negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini