Tumpuan :
Jenayah

Konsert PinkFish: Polis rakam percakapan 43 saksi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Polis sudah merakamkan keterangan penganjur Konsert PinkFish berhubung insiden kematian empat pengunjung dan kecederaan dialami tiga pengunjung lain pada ambang tahun baharu, 31 Disember lalu.

Setakat ini seramai 43 individu sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung kematian yang disyaki akibat pengambilan dadah jenis pil ekstasi ketika konsert berlangsung.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, penganjur konsert sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, hari ini.

“Kita tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa lagi saksi lain yang dapat membantu siasatan dalam masa terdekat.

“Saksi ini terdiri daripada ahli keluarga dan rakan kepada tujuh mangsa, kakitangan taman tema lokasi berlangsungnya acara PinkFish, pegawai perubatan yang memberikan rawatan serta pegawai dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Azlan berkata, pihaknya masih menunggu laporan toksikologi berkaitan empat mangsa yang maut.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan bahawa hasil bedah siasat terhadap empat yang meninggal dunia serta pemeriksaan ke atas tiga lagi pengunjung lain dipercayai akibat pengambilan dadah.

Katanya, kesemua mangsa yang datang secara berasingan dan tidak mengenali antara satu sama lain berkemungkinan membeli dadah ketika berada di konsert berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini