NILAI: Sindiket penyeludupan dadah antarabangsa mencuba taktik baharu untuk membawa bahan terlarang itu ke negara ini dengan memasukkan kokain ke dalam kapsul dan mengisytiharkannya sebagai suplemen (makanan tambahan) kesihatan.
Modus operandi yang digunakan sindiket berkenaan dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam satu pemeriksaan yang menemui 88 kilogram (kg) kokain yang dianggarkan bernilai RM17.6 juta.
![](https://media.buletintv3.my/2023/08/Buletin-TV3-2023-08-07T132742.376.jpg)
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan berkata, sindiket tersebut ditumpaskan anggota Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM menerusi serbuan pada pukul 8 malam, 1 Ogos lalu dan telah menyita empat buah kotak di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Selangor.
![](https://media.buletintv3.my/2023/08/Buletin-TV3-2023-08-07T130746.834.jpg)
Tambahnya, hasil pemeriksaan juga mendapati terdapat alat ganti kenderaan iaitu brek cakera kereta di dalam setiap kotak.
“Modus operandi yang digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa adalah dengan cara mengikrarkan dagangan sebagai suplemen sedangkan di dalamnya terdapat botol kaca yang mengandungi dadah berbahaya dan alat ganti kenderaan.
“Sindiket juga menggunakan nama syarikat palsu sebagai syarikat penerima di dalam waybil udara.
“Siasatan awal mendapati dagangan tersebut diimport dari Belanda dan mendarat di Kompleks Kargo KLIA sebagai destinasi terakhir. Siasatan juga mendapati pengimport menggunakan maklumat palsu di dalam dokumen pengimportan dan ini menyukarkan tangkapan dibuat ke atas pengimport dagangan tersebut.
“Bagaimanapun siasatan masih berjalan untuk mengesan suspek di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Suspek berkemungkinan warga tempatan kerana destinasi terakhir adalah di sini,” katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat di Kampung Jijan, Nilai di sini hari ini.
![](https://media.buletintv3.my/2023/08/Buletin-TV3-2023-08-07T130635.576.jpg)
Sementara itu, Zazuli berkata, secara keseluruhan kes dadah yang diperoleh JKDM untuk tahun ini sehingga bulan Julai lalu adalah melibatkan sebanyak 382 kes dengan nilai RM180.502 juta.
Justeru beliau berkata, orang awam diseru untuk memberi kerjasama kepada JKDM dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.