Oleh Yusri Sahat
MELAKA: Padah membuat komen jelik terhadap anggota polis di laman sosial, seorang penghantar barang didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Lau Siong Ping, 38, yang membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menggunakan akaun Facebook miliknya secara sedar untuk membuat komen palsu dan jelik sifatnya bagi menyakitkan hati terhadap seorang anggota trafik, Zia Azri Kamsani, 31.
Hantaran itu dibaca oleh di pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada jam 9 pagi, 4 Mac 2021.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan boleh dihukum di bawah akta sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 setiap hari kesalahan itu diteruskan tanpa pensabitan.
Mengikut fakta kes, tertuduh membuat hantaran tersebut susulan tidak berpuas hati dikenakan saman oleh anggota tersebut atas kesalahan lalu lintas pada 3 Mac 2021.
Hantaran itu tular di Facebook dan dikongsikan oleh 147 pengguna lain.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan hantaran itu dibuat dalam keadaan marah dan keluarganya juga tidak mengetahui mengenai sabitan kesalahan, selain tidak mempunyai pendapatan tetap.
Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Selepas mendengar hujah kedua pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM5,000 atau penjara dua bulan jika gagal dibayar.