comscore
Tumpuan :
Jenayah

Khianat : Polis buru pemandu tabur paku atas jalan raya

Tangkap layar video tular

BATU GAJAH: Polis sedang memburu pemandu kenderaan jenis Nissan Almera yang dirakam menabur paku di atas jalan raya dipercayai dekat kawasan lampu isyarat persimpangan dekat Pusing, Jalan Ipoh-Lumut di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Aaisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif turut mengesahkan menerima laporan polis daripada pengguna jalan raya yang mengalami tayar bocor selepas melalui kawasan itu.

Katanya, siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perlakuan khianat.

“Sehubungan itu, pemilik kereta terbabit iaitu Nissan Almera bernombor pendaftaran AJK869 sedang dikesan untuk siasatan lanjut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan digesa menghubungi Inspektor Siti Ramlah Abdullah selaku pegawai penyiasat jenayah di talian 0167676287 atau bilik gerakan (DCC) IPD Batu Gajah di talian 05-3654322 atau 05-3629050,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak Khamis lalu, video itu yang dirakam oleh pemandu kenderaan lain berdurasi 24 saat berkenaan tular di media sosial, memaparkan pemandu kereta jenis Nissan Almera warna hitam sedang menabur paku di persimpangan jalan raya dari tingkap kenderaan.

Loading...
Terkini