Tumpuan :
Jenayah

Ketum di sebalik gerai burger

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah Asisten Komisioner Zulkepli Hashim menunjukkan botol air ketum yang dijual di Kampung Gentisan. – FOTO: 999

SEPANGGAR: Menggunakan gerai burger bagi menyembunyikan kegiatan menjual air ketum, membawa padah kepada seorang lelaki di Kampung Gentisan, di sini.

Lelaki berkenaan ditahan polis setelah kegiatan berkenaan dibongkar menerusi serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dalam operasi khas sekitar Sepanggar, baru-baru ini.

Menerusi operasi yang turut disertai 999 itu, pemeriksaan lanjut dalam rumah turut menemukan tiga pek lutsinar mengandungi serbuk hijau dipercayai ketum yang disembunyikan dalam rak meja.

Selain menjadikan rumah sebagai tempat memproses air ketum, siasatan turut mendapati gerai burger yang dibangunkan di hadapan kediamannya dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Taktik sejak setahun lalu dipatahkan pihak polis selepas 16 botol plastik berisi cecair air ketum yang disimpan dalam tong ais ditemukan.

Air ketum berkenaan dicampur air berkarbonat dijual dengan harga RM25 sebotol.

Selain menjual kepada penduduk kampung, lelaki terbabit yang juga nelayan itu mendakwa dirinya turut terlibat dalam pengambilan air ketum.

Dalam operasi itu, seramai enam individu termasuk suspek utama pengedaran air ketum turut ditahan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by 999 TV3 (@999tv3)

Tonton laporan khas ‘Ketum di sebalik gerai burger’ dan pelbagai rangkuman kes sepanjang minggu dalam program 999 malam ini di TV3.

Program 999 bersiaran setiap Selasa, jam 9 malam dan strim sekarang melalui Tonton!

 

Loading...
Terkini