comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kesemua tahanan GISBH ada dokumen, rakyat Malaysia – KDN 

Oleh: Juliana Sharin

PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan kesemua tahanan Ops Global yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) mempunyai dokumen pengenalan diri.

Menerusi kenyataan, KDN memaklumkan hasil semakan Jabatan Pendaftaran Negara JPN mendapati kesemua mereka adalah warganegara Malaysia.

“Jabatan Pendaftaran Negara telah bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membuat proses semakan identiti berdasarkan dokumen pengenalan diri atau cap jari berpandukan kepada rekod data terkini. Sehingga 21 September, semakan mendapati kesemua yang ditahan dan diselamatkan di bawah Op Global ini mempunyai dokumen pengenalan diri dan merupakan warganegara Malaysia,” menurut kenyataan itu.

KDN komited untuk memudah cara dan membantu kanak-kanak yang diselamatkan dalam operasi berkenaan mendapatkan dokumen pengenalan diri serta status kewarganegaraan selayaknya.

Ia selaras dengan perundangan yang berkuatkuasa sekiranya mereka didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan taraf kewarganegaraan.

“Semakan mengenai dokumen pengenalan diri dan status kewarganegaraan individu-individu yang ditahan dan diselamatkan dalam Op Global ini akan dilaksanakan secara berterusan JPN sepanjang operasi,” menurut KDN.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan isu berhubung nasab sebahagian kanak-kanak penghuni rumah amal GISBH yang diselamatkan akan dibawa kepada mahkamah syariah negeri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini