comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kes Zayn Rayyan: Permohonan nama dipinda kepada Zayn Rayyan bin Zaim Ikhwan

PETALING JAYA: Pasukan pembelaan hari ini memohon kepada Mahkamah Sesyen Petaling Jaya untuk meminda nama, Zayn Rayyan Abdul Matiin kepada Zayn Rayyan bin Zaim Ikhwan dalam kertas pertuduhan dihadapi ibu bapa kanak-kanak autisme berkenaan.

Peguam, Fahmi Abd Moin berkata demikian ketika prosiding hari pertama, sebutan semula kes pengabaian terhadap kanak-kanak autisme itu, membabitkan dua anak guamnya, Zaim Ikhwan Zahari, 29, dan Ismanira Abdul Manaf, 29.

Beliau berkata, merujuk kepada pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya pada tarikh lalu (13 Jun), nama kanak-kanak seperti yang dicatatkan ialah Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Menurutnya, satu keputusan pembetulan daripada data kelahiran telah dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor, melalui Ismanira yang membetulkan maklumat dalam daftar kelahiran Zayn Rayyan, yang mana nama anak sulung mereka telah dipinda.

“Ia disahkan dalam sijil kelahiran baharu, iaitu nama arwah ialah Zayn Rayyan bin Zaim Ikhwan.

“Pada 4 Julai 2014, Puan Ismanira, ibu kepada Zayn Rayyan telah menerima pengesahan daripada pihak Jabatan Pendaftaran Negara beserta dengan sijil lahir yang baharu mengesahkan bahawa nama Zayn Rayyan adalah bin  Zaim Ikhwan.

“Saya kemukakan salinan sijil kelahiran baharu, yang diterima pada 4 Julai lalu,” katanya ketika prosiding di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar mengesahkan telah menerima salinan sijil lahir berkenaan, sebentar tadi.

“Memandangkan dokumen ini baru diserahkan kepada pendakwaan pagi ini, kami mohon perkembangan berhubung pindaan tersebut, dimaklumkan pada prosiding akan datang,” katanya yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Syahliza meminta pendakwaan menyemak perkataan berkenaan terlebih dahulu, sekiranya terdapat sebarang perubahan.

Untuk rekod, 28 Jun lalu, Zaim dan Ismanira, didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan.

Zaim Ikhwan dan Ismanira, masing-masing berusia 29 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan, 6, mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Pada 6 Disember tahun lalu,, mayat kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Loading...
Terkini