comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kes tikam di Hospital Selayang, polis buka siasatan

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi. Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian pesakit mental menikam seorang lelaki di Jabatan Kecemasan, Hospital Selayang, petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi, berkata kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian pada jam 3.45 petang itu, saksi mendakwa, suspek berusia 22 tahun menikam bahagian pinggang mangsa dengan menggunakan pisau.

“Akibat daripada serangan itu, mangsa berusia 29 tahun mengalami kecederaan pada abdomen kiri dan kanan badan serta belakang badan.

“Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan, manakala suspek kini diberi rawatan dan ditempatkan di Wad Psikiatri, Hospital Selayang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Polis masih menyiasat motif atau punca suspek menyerang mangsa, termasuk mendapatkan maklumat daripada beberapa saksi kejadian.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memaklumkan, akan memastikan mangsa terbabit, menerima rawatan terbaik.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, dilaporkan berkata, beliau bersama Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dan Pengarah Hospital Selayang, Dr Afidah Ali, serta pasukan doktor yang merawat mangsa sudah bertemu keluarga mangsa.

Status terkini pesakit itu akan dilaporkan kepada keluarganya dari semasa ke semasa kepada keluarga dan insiden itu sedang disiasat pihak berwajib.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu ciapan di Twitter berkata, kejadian tikaman itu dilakukan oleh seorang pesakit mental yang dibawa ke hospital oleh polis.

Justeru, Dr Noor Hisham berkata, kementeriannya akan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) untuk pesakit yang mengalami gangguan mental bagi mengelak situasi luar jangka membabitkan golongan itu.

Beliau juga menafikan kejadian itu berpunca daripada kesesakan di Jabatan Kecemasan hospital berkenaan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini