KUALA LUMPUR: Polis telah mengedarkan foto suspek yang terlibat dalam kejadian tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 awal pagi tadi ke semua pintu masuk negara di utara tanah air dan pihak berkuasa negara jiran.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata arahan itu dikeluarkan sebaik sahaja pihaknya berjaya mengenal pasti suspek terlibat dalam kejadian tersebut yang menyebabkan seorang pengawal peribadi cedera parah.
Beliau berkata pihaknya turut memperketatkan kawalan di lorong tikus di sempadan negara bagi mengelakkan suspek yang dikenal pasti sebagai Hafizul Harawi, 38, meloloskan diri ke negara jiran.
Menurutnya, Hafizul dipercayai masih berada di dalam negara dan usaha menjejaki lelaki itu sedang giat dijalankan.
“Saya percaya dengan kecekapan anggota saya, Hafizul akan ditangkap dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Razarudin berkata siasatan awal pihaknya turut mendapati suspek menggunakan pistol separa automatik berkaliber sembilan milimeter semasa kejadian tersebut.
“Polis menemukan tiga kelongsong peluru di tempat kejadian yang satu daripadanya tidak meletup, kami (polis) mengesyaki Hafizul memperoleh pistol berkenaan dari negara jiran,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi kepada isterinya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata polis termasuk di kawasan negeri berhampiran dan sempadan negara telah diarah mengesan lelaki itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- [VIDEO] Tembakan di KLIA 1: Suspek dipercayai melarikan diri ke utara
- [VIDEO] Tembakan di KLIA 1 cubaan bunuh, seorang cedera
- Tembakan di KLIA: Isteri suspek mohon semua pihak rujuk kenyataan rasmi polis
- [VIDEO] Polis Kedah ketatkan kawalan di sempadan susulan insiden tembakan di KLIA
- Kes tembak di KLIA: Suspek disyaki guna pistol 9mm, dari negara jiran – KPN