Tumpuan :
Jenayah

Kes tembak: Suami isteri kejar kereta suspek demi nombor plat

Dian menunjukkan salah satu kes tembakan yang tersasar dalam kejadian cubaan bunuh di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam, di Kluang Johor tengahari semalam. FOTO TULAR

KLUANG: Pasangan suami isteri yang terselamat daripada cubaan bunuh selepas enam das tembakan dilepaskan di kediaman mereka sempat mengejar sebuah Perodua Bezza dan berjaya mendapatkan nombor pendaftaran kereta dinaiki tiga suspek, tengah hari semalam.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Dian, berkata pada mulanya, dia didatangi tiga lelaki bertanyakan pemilik rumah dan kenderaan sebelum mengacukan pistol.

Dian yang masih trauma dengan kejadian menjelaskan, tiga lelaki terbabit berdiri di tepi tembok dalam anggaran jarak kurang 10 meter.

“Salah seorang suspek bertanya siapa pemilik rumah dan kereta. Belum sempat saya menjawab, salah seorang suspek telah mengacukan pistol dan melepaskan empat das tembakan.

“Tembakan nyaris terkena pinggang saya, tetapi tersasar terkena bingkai pintu, dinding rumah manakala dua lagi das tembakan tembus di meja makan di depan rumah.

“Saya sempat mengambil penyapu manakala suami ambil parang di dapur untuk pertahankan diri. Saya juga jerit minta tolong daripada jiran,” katanya.

Beliau berkata, selepas itu jiran-jiran mula datang dan semua suspek lari ke arah kereta sambil melepaskan dua lagi das tembakan.

“Saya dan suami terus menaiki kereta mengejar kereta suspek,” katanya.

Dian berkata, sebelum itu, dia dan suaminya baharu sampai ke rumah selepas menguruskan hal yuran sekolah agama anak lelaki tunggal mereka yang berusia 10 tahun.

“Saya, suami, ibu berusia 60 tahun, anak asuhan berusia tiga tahun dan anak lelaki kami berehat di rumah pada sebelah tengah hari,” katanya.

Dian berkata, kini mereka sekeluarga dalam keadaan ketakutan kerana beberapa suspek masih diburu polis.

Ketika ditanya, mengenai motif kejadian, Dian enggan mengulas lanjut dan menyerahkan siasatan kepada pihak polis.

Dian dan suaminya yang bekerja sebagai pemandu peribadi di Johor Bahru yakin pihak polis akan menyelesaikan kes berkenaan dengan segera.

“Kesan tembakan masih dapat dilihat dan kami harap semua suspek dapat ditangkap segera,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian terdapat tiga buah kenderaan dalam keadaan tidak tentu arah melalui jalan di hadapan rumah mangsa.

“Kejadian tembakan itu berlaku di rumah jiran saya, pada mulanya saya tak tahu kes itu terjadi.

“Sebab waktu kejadian, saya baru sahaja keluar dari rumah dan semasa dalam perjalanan itu saya berselisih dengan tiga kereta iaitu Volkswagen Golf warna biru hitam, Honda Civic kelabu hitam dan Perodua Bezza warna maroon.

“Saya tak pasti cermin kereta berkenaan gelap atau tidak sebab semuanya dipandu laju tak tentu arah dalam kawasan kampung.

“Saya tak sangka langsung kereta itu menghala ke rumah jiran dan tak lama selepas itu ibu telefon kata depan rumah ada kes tembak,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, media melaporkan sepasangan suami isteri terselamat daripada cubaan bunuh apabila enam das tembakan dilepaskan di kediaman mereka di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam, di sini tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pasangan itu bernasib baik kerana peluru dilepaskan tidak mengenai diri mangsa dan hanya tersasar ke sekitar lokasi kejadian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini