KLANG: Polis mengesahkan lelaki yang maut ditembak di Jalan Hamzah Alang, Kapar di sini, minggu lalu terkena lima das tembakan di kepala dan satu di badan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata setakat ini, enam suspek ditahan reman bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.
“Siasatan mendapati, semua sekali ada enam das tembakan (pada mangsa) iaitu lima das di kepala dan satu das di badan.
“Enam suspek ditangkap dan disoal siasat, direman empat sehingga semalam, dan dibebaskan dengan jaminan polis… setakat ini belum ada sebarang rampasan senjata.
“Siasatan juga mendapati, salah seorang dari enam suspek itu ada tatu pada badan. Dia dituduh mengikut Seksyen 43, Akta Pertubuhan 1966 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan unsur kongsi gelap.
“Ada di antara suspek ini adalah rakan si mati dan mereka mengenali antara satu sama lain,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di Balai Polis Kapar, di sini, hari ini.
Vijaya Rao berkata, pihaknya juga sudah mengambil keterangan 10 individu termasuk ahli keluarga, rakan serta jiran mangsa, setakat ini, termasuk individu di tempat kejadian serta bersama mangsa.
“Polis juga sedang mengesan dan menyiasat sekiranya terdapat individu lain yang terbabit dalam kes ini.
“Motif kes masih dalam siasatan. Pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor serta Bukit Aman juga akan bantu IPD Klang Utara,” katanya.
Mengulas mengenai majlis Perhimpunan Bulanan pula katanya, beliau menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 44 pegawai dan anggotanya serta sijil penghargaan kepada 63 warga IPD Klang Utara serta 15 orang awam pelbagai sektor.