comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Kes penagih dadah bunuh ibu bapa selesai

KUALA LUMPUR: Polis sudah merakam keterangan 12 individu bagi membantu siasatan kes anak lelaki menikam mati ibu bapanya di Kampung Sungai Penchala di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata mereka membabitkan ahli keluarga, jiran dan saksi kejadian.

“Berdasarkan soal siasat, motif pembunuhan disebabkan suspek meminta wang untuk membeli dadah dan apabila tidak diberi, dia menikam ibu dan bapanya.

“Kes ini kita anggap sudah selesai,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Deepavali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan menyerahkan kertas siasatan lengkap kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada minggu ini.

Sebelum ini, sepasang suami isteri ditemui mati dipercayai ditikam anak lelaki mereka yang juga penagih dalam pergaduhan di rumah mereka di Kampung Sungai Penchala, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mayat pasangan warga emas berusia 72 dan 82 tahun terbabit ditemukan terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah, dipercayai dibunuh suspek berusia 42 tahun yang melarikan diri.

Berikutan itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Kuala Lumpur bersama JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields melakukan gerakan memburu suspek.

Suspek kemudian ditahan dekat Terowong Penchala Lebuhraya SPRINT menghala ke Kuala Lumpur kira-kira jam 10.30 malam hari sama.

Allaudeen dilaporkan berkata, ujian saringan ke atas suspek didapati positif tiga jenis dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan morfin, selain mempunyai sembilan rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini