Tumpuan :
Jenayah

Kes pecah rumah: Dua pasangan suami isteri antara 5 ditahan 

SUBANG JAYA: Dua wanita antara lima ditahan selepas polis berjaya membongkar kegiatan penjenayah yang aktif melakukan pecah rumah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita bekerja sebagai pengurus sumber manusia memaklumkan rumahnya di Puchong, di sini, dipecah masuk pada 4 Julai lalu.

“Menurut pengadu, dia bersama ahli keluarganya meninggalkan rumah jam 8.35 pagi sebelum mendapati pintu pagar dirosakkan dengan bingkai besi pintu utama diumpil serta rumah dalam keadaan berselerak jam 12.30 tengah hari.

“Pemeriksaan dilakukan pengadu mendapati barang berharga serta wang tunai miliknya serta ahli keluarga hilang. Jumlah kerugian pengadu dalam kejadian itu dianggarkan RM40,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Azlan berkata, pihaknya menahan lima individu termasuk dua pasangan suami isteri berusia antara 22 hingga 32 tahun sekitar Lembah Klang kira-kira 8 malam, kelmarin.

“Dalam serbuan itu, kami merampas pelbagai barangan termasuk beg tangan, jam tangan, telefon bimbit, sejumlah wang tunai serta alat perkakas seperti spanar dan playar yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah.

“Hasil soal siasat terhadap suspek, kami percaya berjaya menyelesaikan 15 kes pecah rumah di Subang Jaya pada tahun ini yang dipercayai didalangi kumpulan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati semua suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah.

“Semua suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga 10 Julai ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah.

“Pihak polis akan terus komited memerangi jenayah dan menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan jenayah di daerah itu boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD Subang Jaya di talian 03-78627100 untuk tindakan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini