Tumpuan :
Jenayah

Kes pecah rumah di Muar, 3 suspek ditahan polis

Tangkap layar video yang tular di media sosial memaparkan beberapa individu memecah masuk sebuah rumah – Ihsan media sosial

Oleh: Zahir Senapiah

MUAR: Polis menahan tiga suspek, termasuk dua wanita, yang dipercayai terlibat dalam kejadian pecah rumah di Taman Temiang Utama, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata ketiga-tiga suspek ditahan susulan laporan berhubung kejadian tersebut, yang berlaku sekitar jam 12.15 tengah hari.

Beliau menjelaskan, suspek berusia dalam lingkungan 20-an itu diberkas di laluan Bypass Jalan Kim Lee pada jam 12.07 pagi tadi.

“Sebuah kereta Toyota Vios berwarna putih ditinggalkan di tepi jalan, dan ketiga-tiga suspek berjaya ditangkap di kawasan belukar berhampiran dengan bantuan unit K9 dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

“Polis percaya penangkapan ini berjaya menyelesaikan beberapa kes pecah rumah yang dilaporkan berlaku di sekitar daerah Muar sejak kebelakangan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, usaha mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai masih bebas sedang giat dijalankan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan, Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sebelum ini, video berdurasi dua minit 24 saat tular di media sosial, memaparkan beberapa individu memecah masuk sebuah rumah dan mengambil pelbagai barangan sebelum melarikan diri menggunakan sebuah kereta putih.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini