Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan & Juliana Sharin
KUALA LUMPUR: Sebanyak 310 kes penderaan terhadap kanak-kanak berlaku di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dilaporkan sepanjang tahun lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata beberapa langkah telah diambil pihaknya bagi memastikan pusat jagaan yang berdaftar sentiasa mematuhi akta dan peraturan ditetapkan.
Katanya, antara langkah yang diambil termasuk pemantauan dan pemeriksaan berkala dan mengejut dilaksanakan oleh Pegawai Diberikuasa Pusat Jagaan kepada premis pusat penjagaan yang berdaftar, sekurang-kurangnya dua kali setahun.
“Kedua adalah memperkasa tindakan penguatkuasaan ke atas pusat jagaan yang melanggar akta dan peraturan-peraturan di bawahnya dan menganjurkan program kesedaran masyarakat supaya menjadi mata dan telinga bagi melaporkan kejadian yang disyaki melanggar akta dan peraturan-peraturan yang ditetapkan.
“Bagi pusat jagaan yang tidak berdaftar, tindakan penguatkuasaan diambil dalam mengekang pengoperasian pusat jagaan.”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (R-M-K 12) bagi kementeriannya, di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambahnya, sepanjang 2020 hingga 2022, sebanyak 13 pusat jagaan tidak berdaftar dikenakan tindakan antaranya pendakwaan dan kompaun.