KANGAR: Seorang penganggur berdepan hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Majistret, di sini selepas didakwa mengedar dadah jenis ganja lebih dua kilogram menggunakan syarikat penghantaran kurier di Padang Besar pada bulan lalu.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhammad Naqiuddin Mohd Sahabuddin, 22 dari Padang Besar selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis ganja seberat 2.26 kilogram (2,260 gram) di sebuah syarikat penghantaran kurier di Padang Besar sekitar 9.16 pagi pada 23 Januari lalu.
Oleh hal demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama.
Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Alif Farhan Hassan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ana Rozana kemudian menetapkan tarikh 9 Mei hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes serta menunggu laporan kimia.
Sementara itu, sumber mahkamah memberitahu bahawa tertuduh dijangka akan berdepan beberapa lagi pertuduhan membabitkan kesalahan yang sama selepas ini.
Pada 23 Januari lalu, polis membongkar taktik pengedaran dadah menggunakan syarikat kurier selepas merampas empat kotak mengandungi dadah jenis ganja seberat 16.6 kilogram (kg) bernilai lebih RM50,000 di Padang Besar.
Dalam kejadian itu juga, polis turut memberkas seorang penganggur berusia 21 tahun dari Padang Besar yang dipercayai terbabit dalam menyeludup dadah menggunakan taktik berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.