comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kes culik kanak-kanak: 4 suspek dibebaskan dengan jaminan polis

Oleh: Zahir Senapiah

ISKANDAR PUTERI: Empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita yang tamat tempoh reman empat hari hari ini bagi membantu siasatan kes penculikan seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun di pusat perniagaan Eco Galleria, Sabtu lalu, dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan yang dihubingi Buletin TV3 memaklumkan, siasatan kes itu masih diteruskan.

Sebelum ini Mahkamah Johor Bahru membenarkan perintah reman empat hari ke atas empat suspek itu yang masing-masing berumur 28 hingga 55 tahun, bagi siasatan kes di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah.

Mereka ditahan di sekitar kawasan Gelang Patah dan Johor Bahru pada 23 Julai lalu.

Sebelum itu, seorang kanak-kanak berumur 6 tahun dikenali sebagai Albertine Leo Jia Hui dilaporkan hilang di tapak festival pusat perniagaan eco Galleria, Iskandar puteri.

Mangsa berjaya diselamatkan polis yang disembunyikan di sebuah hotel bajet di Batang kali, Selangor.

Suspek kelima, seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang ada bersama mangsa ketika ditemui, dipercayai membawa kanak-kanak perempuan itu dari Johor ke Selangor dengan menaiki sebuah kereta.

Lelaki itu masih ditahan reman selama tujuh hari sehingga Isnin depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini