comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kes bunuh warga asing: Polis tahan rakan senegara

KOTA TINGGI: Polis menahan seorang lelaki warga asing bagi membantu siasatan kes bunuh rakan senegara.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, lelaki berumur 30an itu ditahan di tepi jalan Batu 25, Jalan Johor – Kota Tinggi, antara jam 2 hingga 4 pagi semalam.

“Ia susulan satu maklumat yang diterima mengenai penemuan seorang lelaki warga asing telah tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di luar pagar sebuah stor di Jalan Kemajuan Perindustrian 4, Batu 24, Kota Tinggi kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 22 Oktober 2024,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, susulan tangkapan itu polis merampas sebuah telefon bimbit serta pakaian yang mempunyai kesan darah dipercayai dipakai oleh suspek ketika kejadian.

Bagaimanapun polis masih gagal menemui senjata yang digunakan bagi tujuan pembunuhan itu.

Hasil saringan air kencing mendapati suspek bebas daripada sebarang penggunaan bahan terlarang.

Semakan rekod lampau mendapati suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Hasil siasatan awal mendapati, pembunuhan dipercayai disebabkan hutang dan berada di bawah pengaruh alkohol.

Suspek telah direman selama 7 hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk proses bedah siasat.

Punca kematian masih dalam siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 kanun keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan 12 sebatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini