SHAH ALAM: Polis mengesahkan pembunuhan melibatkan seorang peniaga di Taman Jaya, Kapar, bulan lalu mempunyai kaitan dengan kongsi gelap.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan sehingga kini dua individu telah ditahan dengan seorang daripadanya telah didakwa dibawah Akta Pertubuhan.
“Pengesanan dua suspek itu akan dilakukan sama ada dia masih dalam negeri atau luar negara,” katanya pada sidang media selepas Townhall Discussion Polis Kontinjen Selangor 2024 di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan pada 27 April lalu, seorang peniaga dibunuh ala mafia oleh empat lelaki yang memasuki rumah mangsa dan kemudian menetak lelaki itu berkali-kali menggunakan parang dalam kejadian di Taman Jaya.
Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), empat lelaki yang turut membawa ‘taser gun’ dilihat memasuki rumah mangsa yang berusia 38 tahun, manakala seorang lagi suspek menunggu di dalam sebuah kereta Perodua Myvi di hadapan rumah.
Kesemua suspek kemudian melarikan diri menggunakan kereta selepas membunuh mangsa sebelum mayatnya ditemui dengan lebih tiga kesan tetakan pada anggota badan dalam keadaan tertiarap di depan bilik tidur.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.