Tumpuan :
Jenayah

Kes bunuh Istiqomah: Beberapa anggota badan belum ditemui, mayat masih di Hospital Melaka

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah

MELAKA: Mayat mangsa bunuh, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, masih berada di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka (HM) kerana siasatan kes itu masih berjalan termasuk bagi mengesan beberapa bahagian anggota badan mangsa yang hilang.

Sebelum ini ahli keluarga Allahyarham Istiqomah memaklumkan mahu membawa pulang jenazah mangsa ke Pasir Mas, Kelantan untuk dikebumikan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata setakat ini mayat mangsa belum boleh dituntut keluarganya biarpun proses bedah siasat selesai dijalankan pakar forensik HM.

“Mayat mangsa belum dituntut lagi, sebab siasatan masih belum selesai, masih ada anggota badan mangsa yang hilang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, Ashari enggan memperincikan bahagian badan yang sedang dikesan bagi mengelak ia mengganggu siasatan kes itu.

Istiqomah dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 26 Disember 2023, sebelum keesokan harinya, keretanya ditemui di parkir sebuah pasar raya dekat Kota Masai, berhampiran rumahnya.

Pada 31 Disember 2023, satu mayat tanpa kepala ditemui dalam tong sampah di longkang tepi Jalan Alor-Gajah-Tampin, berhampiran Kampung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka, namun identiti mayat tidak dapat dikenal pasti ketika itu.

Semalam, Ashari mengesahkan hasil siasatan dan ujian deoxyribonucleic asid (DNA) yang dijalankan, mayat tanpa kepala itu adalah milik Istiqomah.

Susulan itu, polis menahan pasangan suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Chemor, Perak, pada 5 Ogos lalu dan direman enam hari sehingga semalam, sebelum reman ke atas suspek lelaki disambung tujuh hari lagi hingga Sabtu ini bagi melengkapkan siasatan, manakala isterinya dibebaskan dengan jaminan polis selepas didapati tiada kaitan dengan kes.

Sementara itu, suami mangsa, Mohd Yusof Mokhtar,35, ketika dihubungi turut mengesahkan setakat jam 2 petang tadi, pihaknya tidak dihubungi polis bagi proses menuntut mayat isterinya.

“Mungkin polis mahu melengkapkan anggota badan arwah isteri saya, sebelum menyerahkan jenazahnya untuk urusan pengebumian,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini