comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kes bunuh Farah Kartini: ‘Puas hati bila tahu suspek akan dituduh, tapi itu belum cukup lagi’ – Abang 

PETALING JAYA: ‘Saya rasa berpuas hati bila tahu suspek akan dituduh, tapi itu belum cukup lagi.’

Itu kata Mohd Farizza Azmi, 28, abang kepada Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah yang mati dipercayai dibunuh di Ladang Kelapa Sawit, Jalan Sri Kledang, Hulu Selangor awal Julai lalu.

Jelasnya ketika dihubungi Buletin TV3, wakil keluarga akan hadir bagi mengikut prosiding yang akan berjalan di Mahkamah Kuala Kubu Bharu esok.

“Saya sekarang dah balik ke Sarawak tapi akan ada wakil keluarga yang lain (akan hadir).

“Perasaan saya, memang berpuas hati bila tahu suspek akan dituduh, tapi belum cukup lagi,” jelasnya.

Sementara itu, kakak ipar kepada Allahyarham, Syeril Nur Fatiha Suhaimi, 31, pula terkilan tidak dapat mendengar sendiri prosiding esok kerana berada di Miri, Sarawak.

Namun tambahnya, beliau lega, apabila dimaklumkan oleh pihak polis bahawa suspek akan dituduh.

“Rasa lega, harap ada keadilan, (ini) belum cukup lagi.

“Rasa terkilan kita tak dapat datang esok. Tetapi sekurangnya, adalah progres kes ini dan beri kekuatan buat keluarga bila ada perkembangan seperti ini,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam satu kenyataan media memaklumkan suspek berusia 26 tahun akan dituduh esok.

Suspek akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, atau penjara tidak lebih 40 tahun jika tidak dijatuhi hukuman mati serta 12 kali sebatan jika sabit kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini