comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Kes bunuh Farah Kartini: Polis selesai ambil keterangan pekerja kebun ubi

 

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

SLIM RIVER: Polis sudah merakam keterangan beberapa pekerja sebuah kebun ubi di Kampung Klan Halt bagi membantu siasatan kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, kesemua saksi terbabit adalah pekerja yang membantu suspek mengusahakan kebun ubi berkenaan.

“Buat masa ini saya boleh sahkan saksi-saksi tu adalah pekerja kebun ubi yang bantu suspek dan bersama-sama usahakan kebun ubi itu”, katanya kepada Buletin TV3.

“Setakat ini team siasatan hampir selesai menjalankan siasatan di kebun ubi tu. Walau bagaimanapun kes dalam siasatan dan siasatan akan diteruskan”.

Semalam kebun ubi ini menjadi tumpuan pasukan forensik dan siasatan Polis Diraja Malaysia, PDRM dalam usaha mencari bahan bukti kes pembunuhan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris, (UPSI) itu.

Difahamkan kebun ubi yang luasnya kira-kira setengah ekar itu diusahakan suspek secara sambilan.

Isnin lalu, mayat Nur Farah Kartini ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang.

Mangsa yang berasal dari Miri, Sarawak dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di Taman Universiti, Tanjung Malim.

Susulan itu, seorang anggota polis yang dipercayai teman lelaki kepada mangsa direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Siasatan terhadap suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini