comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kes bunuh Farah Kartini: Polis belum terima laporan bedah siasat 

Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah.

PETALING JAYA: “Kita (polis) belum terima (laporan bedah siasat) daripada pihak hospital,” demikian jelas Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengenai laporan analisis lengkap punca kematian Nur Farah Kartini Abdullah yang dibunuh, bulan lalu.

Hussein berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelupusan barangan kes di Balai Polis Ara Damansara, di sini, hari ini.

Bedah siasat ke atas Nur Farah Kartini sebelum ini dilakukan di Hospital Sungai Buloh.

Mayat graduan Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu ditemukan di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang di Hulu Selangor, pada 15 Julai lalu, iaitu enam hari selepas mangsa dipercayai dibunuh.

Pada 26 Julai lalu, anggota polis Balai Slim River Lans Koperal Muhammad Alif Monjani telah didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu atas tuduhan membunuh Nur Farah Kartini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Selepas didakwa, tertuduh dilapor dibawa ke Penjara Sungai Buloh, Selangor hingga menunggu hari sebutan semula kes yang ditetapkan pada 30 Ogos ini di Mahkamah Kuala Kubu Bharu.

Sebelum ini, Hussein dilapor berkata, suspek yang berasal dari Melaka dan sudah mendirikan rumah tangga didakwa mempunyai perselisihan faham dalam hubungan dengan gadis kelahiran Sarawak itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini