Oleh: Fareez Azman
HULU SELANGOR: Polis membawa suspek kes bunuh Nur Farah Kartini Abdullah,25, ke lokasi penemuan mayat di ladang kelapa sawit, Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor petang ini.
Beberapa kenderaan dilihat memasuki kawasan kejadian kira-kira jam 2.33 petang membawa anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Polis membawa suspek kes bunuh Nur Farah Kartini Abdullah,25, ke lokasi penemuan mayat mangsa di Ladang Kelapa Sawit, Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor petang ini. pic.twitter.com/8mB7aUufMe
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) July 16, 2024
Suspek yang memakai baju lokap berwarna oren kemudian dilihat dibawa keluar dipercayai bagi membantu siasatan kes bunuh itu.
Bagaimanpun, 30 minit kemudian suspek dibawa beredar dari lokasi kejadian.
Difahamkan, siasatan di lokasi kejadian akan diteruskan esok menggunakan khidmat Unit Skuba dan Unit Forensik PDRM.
Allahyarham Nur Farah Kartini, 25, berasal dari Miri, Sarawak yang juga bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.
Bagaimanapun misteri kehilangannya terjawab apabila mayat mangsa ditemui di ladang kelapa sawit, Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.