Tumpuan :
Jenayah

Kes buli UPNM: PDRM tunggu hasil siasatan dalaman daripada MINDEF

FOTO: Fail NSTP

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunggu laporan dapatan siasatan dalaman Kementerian Pertahanan (MINDEF) berhubung kes buli pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang akan dibentang esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata dapatan dan keputusan diputuskan Lembaga Siasatan MINDEF perlu dimaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan dan arahan lanjut.

Katanya, polis masih menunggu arahan pihak AGC selepas kertas siasatan lengkap diserahkan kepada jabatan itu untuk semakan, kelmarin.

“Kertas siasatan polis kini dalam proses semakan pihak AGC yang mungkin boleh berakhir dengan pertuduhan di mahkamah.

“Hasil siasatan dalaman pula mungkin boleh berakhir tindakan dibuang daripada program atau dibuang asrama.

“Ada dua situasi, kadang-kadang keputusan daripada siasatan dalaman itu boleh dipertimbang untuk keputusan siasatan polis, kadang-kadang tindakan berasingan,” katanya, lapor BH Online.

Semalam, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan dapatan siasatan berhubung kes buli berkenaan akan dibentangkan jawatankuasa siasatan Jumaat ini.

Beliau dipetik sebagai berkata, siasatan akan dimuktamadkan dan hasil siasatan akan dibentang dalam satu mesyuarat bersama lembaga siasatan.

Sebelum ini, polis merakam keterangan 16 individu membabitkan mangsa, suspek dipercayai pelaku, penuntut dan kakitangan UPNM bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini