KUALA LUMPUR: Tempoh reman ke atas suspek kedua yang ditahan berkait siasatan kes buli siber terhadap pempengaruh media sosial, A Rajeswary atau Esha di TikTok yang sepatutnya tamat hari ini, dilanjutkan dua hari lagi.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, yang mengesahkan perkara itu turut berkata, kertas siasatan berhubung kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) esok.
“Suspek disambung reman dua hari lagi, bermula 15 Julai (esok) hingga 16 Julai ini.
“Kertas siasatan dalam proses dilengkapkan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) esok,” katanya kepada BH, hari ini.
Beliau berkata, setakat ini, seramai 11 saksi sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung kes itu.
Sebelum ini, Ahmad Sukarno memaklumkan suspek yang berusia 44 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori itu ditahan pada jam 6.30 petang di satu lokasi di Setapak, Rabu lalu.
Untuk rekod, suspek adalah seorang daripada dua suspek yang dicari polis berkaitan kes buli siber terhadap Rajeswary.
Terdahulu, polis menahan seorang wanita tempatan dan bekerja sebagai pembantu rumah jagaan orang tua berkait kes itu di Rawang, Selangor Isnin lalu.
Suspek berusia 35 tahun itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman lima hari ke atasnya tamat, kelmarin.
Kedua-dua suspek disyaki melemparkan kata ugutan dan ancaman terhadap mangsa serta turut menggunakan kata-kata kesat dan lucah di TikTok.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah), Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (kelakuan aib).
Dalam pada itu, Ahmad Sukarno berkata, pihaknya mengenal pasti tiga individu yang didakwa melakukan buli siber terhadap mendiang Esha, susulan satu laporan polis yang dibuat oleh ibu mangsa di Balai Polis Gombak, kelmarin.
Kelmarin, media melaporkan ibu kepada Rajeswary membuat laporan polis, berkaitan buli siber membabitkan anak perempuannya itu di Balai Polis Gombak dan laporan dipindahkan ke pihak Polis Daerah Sentul untuk tindakan.
Puspa P Rajagopal, 56, berkata laporan itu dibuat terhadap dua lelaki serta seorang wanita yang dikatakan memuat naik video serta membuat siaran langsung di media sosial berkaitan pempengaruh berkenaan.
Katanya, beliau dimaklumkan oleh keluarga bahawa terdapat tiga individu membuat siaran langsung di media sosial bercakap mengenai Esha walaupun anaknya itu sudah meninggal dunia.
“Salah seorang daripada mereka adalah wanita yang juga bekas pegawai polis wanita yang mempertikaikan Esha pernah ditahan polis sebelum ini,” katanya.
Menurut Ahmad Sukarno, laporan polis dibuat oleh ibu Esha itu dirujuk kepada kertas siasatan awal yang telah dibuka polis sebelum ini berkaitan kes sama.
“Tiga individu itu sudah dikenal pasti identitinya dan kita dalam tindakan untuk merakam keterangan mereka,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Esha, 30, ditemui meninggal dunia di sebuah unit kediaman di sebuah kondominium di Setapak pada Jumaat lalu, dipercayai ada kaitan dengan tekanan dihadapinya kerana menjadi mangsa buli siber.
Mendiang sempat membuat satu laporan polis berhubung buli siber yang dihadapinya di Balai Polis Dang Wangi pada 4 Julai lalu dan laporan tu dipindahkan ke pihak Polis Daerah Sentul untuk siasatan.
Pihak polis kemudian meminta mendiang menghadirkan diri ke balai polis untuk dirakam keterangan namun dipercayai tidak sempat berbuat demikian kerana dia ditemui meninggal dunia keesokannya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa