KUALA LUMPUR: Polis sudah memanggil dua individu termasuk seorang pegawai polis wanita berpangkat Inspektor yang ditahan kerja bagi membantu siasatan berkaitan buli siber terhadap pempengaruh Esha.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, setakat ini mereka belum tampil memberi keterangan.
“Dua individu terbabit sudah dihubungi tapi masih belum tampil memberi keterangan.
“Sehingga kini masih kekal dua orang yang dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Terdahulu, polis merakam keterangan seorang ahli perniagaan susulan laporan ibu Esha atau nama sebenarnya Rajeswary Appahu berkaitan buli siber membabitkan anak perempuannya.
Pada 12 Julai lalu, ibu Esha, Puspa P Rajagopal, 56, membuat laporan membabitkan dua lelaki serta seorang wanita yang dikatakan memuat naik video serta membuat siaran langsung di media sosial berkaitan anaknya.
Esha ditemui mati sehari selepas membuat laporan ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, 5 Julai lalu.
Susulan itu, dua akaun TikTok di bawah penama @DulalBrothers dan @Alphaquinnsha disiasat polis dipercayai menggunakan gambar Esha sebagai latar belakang kandungan video yang dimuat naik ke akaun masing-masing.
Kandungan berkenaan juga didapati mengandungi ugutan dan ancaman kepada mangsa selain menggunakan kata-kata kesat serta lucah.
Dua individu yang dikaitkan dengan akaun TikTok terbabit ditahan secara berasingan untuk disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 sebelum didakwa di mahkamah, baru-baru ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa