KUALA LUMPUR: Jumlah kerugian akibat jenayah komersial bagi tempoh Januari hingga 16 Jun mencecah RM1.07 bilion, iaitu peningkatan 27 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, secara purata 88 kes jenayah komersial dicatatkan sehari dalam tempoh itu.
“Jumlah kes tahun ini meningkat satu peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 14,798 kes.
“Nilai kerugian juga menunjukkan trend yang sama dengan peningkatan sebanyak 27 peratus berbanding tahun lalu yang mencatatkan nilai kerugian sebanyak RM843 juta,” katanya kepada media, hari ini.
Menurutnya, peningkatan kes jenayah komersial berkenaan ditangani sewajarnya menerusi kadar pertuduhan yang lebih baik berjaya dicatatkan JSJK setakat ini.
Katanya, sebanyak 7,018 kertas siasatan sudah berjaya dituduh di mahkamah berbanding jumlah pertuduhan 6,219 dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyeru pembabitan setiap lapisan masyarakat untuk sentiasa cakna dan mengambil bahagian dalam menyebarkan mesej pencegahan jenayah komersil.
“Sama-samalah kita berusaha untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan terhindar dari ancaman jenayah komersial,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.