KUALA LUMPUR: Kertas siasatan kes mayat bayi lelaki disimpan dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Klang sudah lengkap, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Bagaimanapun, katanya kertas siasatan yang lengkap belum dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (DPP) kerana polis masih menunggu beberapa dokumen dan laporan daripada pihak hospital.
“Ia membabitkan laporan berkaitan kematian bayi terbabit serta rekod penyimpanan mayat bayi,” katanya memetik laporan BH Online.
Selain itu, ditanya mengenai dapatan hasil siasatan, Hussein enggan mengulas lanjut.
Sabtu lalu, media melaporkan seramai 14 individu setakat ini dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes terbabit.
Hussien dilaporkan berkata, kesemua saksi yang diambil keterangan membabitkan ibu bapa bayi terbabit, doktor dan petugas hospital terbabit.
Beliau dilapor berkata, pihaknya juga turut merakam keterangan sukarelawan yang menguruskan jenazah bayi itu selain saksi-saksi awam.
Pada 13 Disember lalu, polis mengesahkan satu laporan daripada bapa kepada bayi terbabit dan ia diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP).
Kisah bayi dinamakan Adham dan meninggal dunia beberapa minit selepas dilahirkan menjadi tumpuan apabila jasadnya didakwa ‘ditahan’ di bilik sejuk beku sebuah hospital swasta selama dua minggu selepas bapanya, Safwan Roshdy, tidak mampu melunaskan bil hospital.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.