Tumpuan :
Jenayah

Kerana ketagihan dadah, pasangan biar anak hidup gelandangan bawah jambatan

Lokasi pasangan suami isteri bersama dua anaknya berteduh dan menetap di bawah jambatan Sungai Langat, Kajang. -FOTO: Ihsan AADK

KAJANG: Pasangan suami isteri tergamak membiarkan dua anaknya tinggal sebagai gelandangan di bawah jambatan Sungai Langat, di sini, semata-mata mahu menagih dadah.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar apabila wanita berkenaan ditahan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Hulu Langat dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semalam.

Dalam operasi kira-kira 8 pagi itu, wanita berusia 29 tahun berkenaan ditahan bersama dua abang iparnya masing-masing berusia 30-an dan 40-an di bawah jambatan terbabit.

Turut ditemui di lokasi itu adalah salah seorang anak lelaki pasangan berkenaan berusia 11 tahun, manakala suaminya, 32, berjaya melarikan diri bersama anak perempuan mereka berusia sembilan tahun.

Wanita terbabit memaklumkan mereka tinggal di bawah jambatan itu kerana kawasan berkenaan lebih ‘selesa’ berbanding rumah sewa yang dibayar oleh pihak Lembaga Zakat Selangor.

“Sebenarnya, saya dan suami ada dapat rumah sewa dibayar pihak zakat di Kajang Mewah tetapi saya rasa penat untuk naik turun tangga ke rumah itu yang berada di tingkat empat.

“Disebabkan itu, kami berpindah di bawah jambatan ini sejak empat bulan lalu kerana ia lebih ‘selesa’ dan bebas memandangkan hanya kami tinggal di sini,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Keadaan ‘kediaman’ pasangan suami isteri bersama dua anaknya yang tinggal di bawah jambatan Sungai Langat, Kajang. -FOTO: Ihsan AADK

Dia yang berasal dari Kuantan, Pahang, mengakui mengambil dadah jenis syabu sejak tahun lalu selepas melihat suami serta abang iparnya mengambil bahan terlarang berkenaan.

“Sebelum kahwin 11 tahun lalu, saya tak tahu suami menagih dadah. Selepas kami kahwin, baru saya tahu, suami adalah penagih dadah. Selalunya kami ambil dadah bila suami ada duit tetapi ia tidak begitu kerap memandangkan suami tiada kerja tetap.

“Sebelum ini, saya dan suami tidak pernah ‘kantoi’ ambil dadah (ditahan AADK) tapi kami pernah ditahan polis serta dipenjara kerana mencuri telefon bimbit,” katanya.

Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap wanita itu dan dua abang iparnya mendapati mereka positif dadah jenis syabu.

Difahamkan anak lelakinya yang ditemui di lokasi serbuan diserahkan kepada pihak JKM untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di tempat tinggal wanita terbabit di bawah jambatan berkenaan mendapati terdapat binaan konkrit yang dijadikan sebagai bilik oleh pasangan berkenaan.

Selain itu, terdapat juga barang kelengkapan rumah yang lain seperti pakaian, kerusi, tilam dan dapur ditemui di lokasi berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini