Tumpuan :
Jenayah

Kerana enggan beli kucing siam, pegawai kanan agensi kerajaan diugut bunuh

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Seorang pegawai kanan agensi kerajaan negeri di sini mendakwa menerima ancaman ugutan bunuh selepas dikatakan enggan mengikut permintaan individu dipercayai ahli sindiket penipuan dalam talian yang kononnya menjual kucing siam.

Mangsa lelaki berusia 50-an itu berkata, kejadian berlaku ketika beliau berurusan dengan seorang individu menggunakan nama Marzuki di Facebook untuk urusan pembelian seekor kucing siam kira-kira jam 9 malam, 5 Februari lalu.

Katanya, iklan berkenaan meletakkan gambar seekor kucing siam berwarna kelabu untuk dijual pada harga RM900 namun memberikan harga diskaun RM400 membuatkannya tertarik untuk memilikinya.

“Selepas berurusan di media sosial, dia meminta saya membuat bayaran deposit berjumlah RM200 dan saya menjelaskannya secara pindahan dalam talian pada malam hari sama.

“Namun keesokan harinya saya mendapat pesanan dari WhatsApp mengunakan nombor luar negara meminta saya membuat tambahan bayaran untuk kuarantin kucing berjumlah RM450,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jelasnya, selepas berunding, individu terbabit bersetuju memberi diskaun dan hanya perlu membayar RM200 membuatkannya sekali lagi memindahkan wang ke nombor akaun sama.

Selepas membuat bayaran tambahan itu, dia menerima satu lagi pesanan daripada nombor berbeza yang meminta penambahan wang untuk meneruskan pembelian kucing siam berkenaan.

“Berasakan ada yang tidak kena, saya tidak menuruti permintaan itu membuatkan individu itu mengugut saya dengan membuat ugutan jenayah.

“Ugutannya adalah “jika saya tidak buat bayaran seperti diminta, kepala saya akan dipenggal,” katanya.

Bimbang dengan ancaman itu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh pada hari sama selepas menyedari ditipu melibatkan kerugian RM400.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan E Sundra Rajan ketika dihubungi mengesahkan laporan itu.

Kes berkenaan kata beliau, disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini