Tumpuan :
Jenayah

Kelindan lori dipukul kerana dendam

Foto hiasan

AMPANG JAYA: Dendam lama pernah dicederakan menjadi punca seorang lelaki bertindak memukul kelindan lori di Jalan Pandan Indah, di sini, Sabtu lalu.

Susulan itu suspek lelaki berusia 31 yang juga pemandu lori ditahan kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian jam 9.10 malam itu, seorang wanita berusia 57 tahun menerima panggilan dari Hospital Ampang memaklumkan anak angkatnya berusia 42 tahun, telah dimasukkan ke hospital.

Menurutnya, ketika berada di Hospital Ampang, seorang lelaki yang membawa mangsa telah beritahu anaknya dipukul di Jalan Pandan Indah oleh suspek.

“Mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut oleh Hospital Ampang dan dalam keadaan stabil setelah menerima rawatan di HKL.

“Motif kejadian adalah kerana dendam lama disebabkan mangsa pernah mencederakan suspek pada pertengahan tahun 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, suspek ditahan jam 11 malam kelmarin di tepi jalan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

“Suspek direman lima hari bermula semalam hingga 18 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini