comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kegiatan sindiket along simbah cat, khianat api di 6 negeri lumpuh

Foto hiasan

GEORGE TOWN: Kegiatan sindiket along yang melakukan perbuatan simbah cat dan khianat dengan api di enam negeri berjaya dilumpuhkan selepas empat ahli sindiket berkenaan ditahan polis.

Kesemua lelaki berusia 23 hingga 28 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di negeri ini, Kedah serta Perak pada Khamis lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati sindiket itu menjalankan kegiatan pinjaman wang secara haram termasuk secara dalam talian.

Katanya, selain itu mereka turut terbabit dalam jenayah khianat yang menyasarkan mangsa mereka.

“Menerusi serbuan berkenaan polis merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan bagi aktiviti pinjaman haram termasuk buku cek, buku catatan mengandungi senarai peminjam, empat telefon bimbit serta sebuah kereta jenis Honda City.

“Semakan ke atas telefon bimbit yang dirampas turut membawa kepada penemuan 24 rakaman video kejadian simbah cat dan khianat dengan api yang dirakam suspek ketika melakukan jenayah itu di lokasi berasingan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Hamzah, siasatan lanjut mendapati kesemua suspek yang ditahan itu terbabit dengan sebanyak 27 kes khianat simbah cat dan khianat dengan api yang berlaku di enam negeri iaitu Pulau Pinang Kedah, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Melaka.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanuk Keseksaan, Seksyen 435 dan 436 akta sama serta Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

“Polis menasihati orang ramai yang diganggu atau diugut along supaya segera buat laporan bagi membolehkan pihak polis mengambil tindakan lanjut,” katanya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini