comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kegiatan seleweng diesel terbongkar, seorang lelaki ditahan

Tangki tambahan yang digunakan untuk mengisi diesel yang disyaki untuk diseleweng ditemui di belakang sebuah kenderaan pikap yang disita pegawai KPDN Kedah. – Foto: Ihsan KPDN

SUNGAI PETANI: Kegiatan penyelewengan minyak diesel di sekitar daerah ini terbongkar semalam, selepas penemuan tangki tambahan di belakang sebuah pikap.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 20-an ditahan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah ketika sedang mengisi minyak diesel ke dalam kenderaan terbabit.

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, dalam operasi Ops Tiris yang dilakukan itu, pihaknya melakukan pemantauan bermula jam 7 pagi hingga 3 petang di kawasan itu sebelum menemui sebuah kenderaan itu yang dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemui tangki tambahan di belakang kenderaan itu yang disyaki digunakan untuk menyeleweng minyak.

“Susulan itu, pasukan penguat kuasa bertindak menyita kenderaan terbabit untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Affendi berkata, pihaknya turut menyita 300 liter minyak diesel bernilai RM645 selain resit belian, kunci kenderaan dan tangki tambahan yang dianggarkan berjumlah RM41,000.

Beliau berkata, pemandu kenderaan pikap itu turut ditahan untuk siasatan lanjut dan umlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM41,645.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan penalti iaitu bagi bukan suatu pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta (satu juta ringgit) atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan yang kedua boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Affendi berkata, bagi pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi

kesalahan yang kedua didenda tidak melebihi RM5 juta.

Beliau berkata, KPDN ingin memberi amaran keras dan menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam sindiket dan aktiviti penyelewengan barang-barang kawalan ini.

“Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613).

“Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana lebih tinggi,” katanya.

Sehubungan itu katanya, orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada Pejabat KPDN dengan menyalurkan sebarang kegiatan yang mencurigakan melalui saluran portal e-aduan 2.0 http://eaduan.kpdnhep.gov.my atau Call Centre 1-800-886-800, e-mel di [email protected] atau plikasi EZ ADU KPDNHEP.

Selain itu, maklumat boleh disalurkan melalui Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-88826088/6245 atau WhatsApp 019-848 8000 dan 019-279 4317 dan Pejabat KPDN Kedah 04-7001745. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini