KUALA LUMPUR: Polis membongkar kegiatan sindiket pengedaran dadah yang menggunakan kedai ubat tradisional di Taman Desa Petaling sebagai stor penyimpanan.
Kegiatan itu terbongkar selepas premis dua tingkat itu diserbu sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Sabtu lalu dengan jumlah rampasan dianggarkan hampir RM22 juta.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin, berkata dalam serbuan jam 2 petang itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ dadah.
Katanya, polis turut menemukan 209.65 kilogram (kg) dadah jenis pil erimin 5 yang disimpan dalam sebuah bilik yang terletak di tingkat satu kedai terbabit.
“Dalam serbuan seterusnya, polis menahan seorang lelaki warga Singapura berusia 64 tahun yang disyaki sebagai dalang utama sindiket ini.
“Suspek ditahan dalam kenderaan jenis Mercedes Benz yang dipandunya di sebuah lokasi yang terletak kira-kira 30 meter dari premis kedai yang diserbu.
“Hasil pemeriksaan pada kenderaan suspek, polis menemui 5.55kg dadah jenis pil ekstasi di tempat letak kaki penumpang hadapan kenderaan terbabit,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPKKL) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Difahamkan, premis kedai ubat tradisional yang diserbu itu disewa dengan kadar RM3,000 sebulan dan dimiliki oleh anak kepada suspek kedua yang ditahan dalam kes ini.
“Secara keseluruhan, jumlah dadah yang dirampas seberat 209.65kg terdiri daripada pil erimin 5 dan esktasi dianggarkan bernilai RM21.8 juta yang boleh digunakan oleh 1.1 juta penagih.
“Modus operandi sindiket ini adalah menjadikan premis kedai ubat terbabit sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum dadah diedarkan untuk pasaran dalam negara, terutamanya kawasan Lembah Klang.
“Sindiket ini juga dipercayai mula aktif sejak awal tahun 2024,” katanya.
Kok Chin berkata semakan mendapati kedua-dua suspek tiada rekod jenayah lampau dan keputusan ujian saringan air kencing mereka didapati negatif.
“Kita percaya kesemua dadah ini diseludup masuk dari negara jiran dan dijual dengan harga antara RM25 hingga RM50 sebiji. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan.
“Menerusi serbuan ini, kita turut merampas beberapa aset termasuk sebuah Perodua Arus dan Mercedes Benz serta wang tunai RM3,000 dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan dianggarkan RM21.9 juta,” katanya.
“Kedua-dua suspek kini direman selama enam hari bermula semalam sehingga 16 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.