Tumpuan :
Jenayah

Kebakaran bongkar aktiviti perlombongan bitcoin haram di Puncak Alam

KUALA LUMPUR: Kebakaran di sebuah rumah di Lorong Cekara Purnama, Bandar Puncak Alam, semalam, mendedahkan kegiatan mencuri elektrik untuk melombong mata wang kripto Bitcoin secara haram.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.41 pagi daripada seorang wanita yang memaklumkan terdengar bunyi letupan dan melihat asap keluar dari rumah jirannya.

“Pusat Kawalan IPD Sungai Buloh segera menghubungi pihak bomba dan mengarahkan Unit Kereta Peronda Polis (MPV) ke lokasi kejadian. Pasukan MPV tiba jam 11.53 pagi, manakala kebakaran berjaya dipadamkan oleh 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya serta Sukarelawan Bomba Saujana Utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pihak bomba mendapati tiada penghuni di rumah itu ketika kejadian. Mereka terpaksa memecah masuk dan mendapati kebakaran berpunca daripada pendawaian elektrik yang diubah suai sehingga menyebabkan litar pintas.

Siasatan lanjut oleh Bahagian Siasatan Jenayah bersama Pasukan SEAL Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor pada jam 4.45 petang mendedahkan penyambungan elektrik secara haram di rumah berkenaan. Pemeriksaan juga mendapati rumah itu digunakan untuk aktiviti perlombongan Bitcoin haram.

“Hasil pemeriksaan menemui sembilan mesin melombong Bitcoin, kipas ‘blower’, dan satu alat penghala (router) di rumah tersebut,” katanya.

Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat yang menyebabkan kerugian, serta Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 atas kesalahan mencuri elektrik. Jika sabit kesalahan, pelaku boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Kegiatan perlombongan Bitcoin secara haram bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga memberi kesan buruk kepada ekonomi dan keselamatan masyarakat. Penyambungan elektrik secara haram meningkatkan risiko kebakaran yang boleh mengancam nyawa serta harta benda,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohamad Nurizwan Hafiz Abd Halim, di talian 017-2494940 atau hadir ke balai polis berdekatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini